Monday, 13 June 2011

Blog

06.17pm. 
Masih di pejabat, menyudahkan kerja pejabat yang berlambak-lambak. Selesai ini saya harus menanda markah pelajar yang ada 40 orang x 3 subjek x 4 kumpulan itu. Kemudian saya sambung pula dengan laporan mentor-mentee bulan Jun. Kemudian,kemudian..baiklah. Itu tipu sahaja. Kerja-kerja itu manalah boleh habis. Sekiranya habis maka tamatlah riwayat kerja makan gaji saya.Jadi terima kasih wahai kerja kerana memberikan saya kesibukan. Dan dengan itu masih punya alasan menyombong depan ibu mentua

Saya menunggu encik Sultan datang jemput. Kemudian teringat blog yang sepi ini. Ada sedikit malu. Kawan-kawan blogger sudah mandi duit dari blogging, malah Tuan Guru Nik Aziz pun sudah cecah 100 posting!Saya baru mahu buat posting yang pertama. Iya. Yang pertama. Mesti kamu rasa macam mahu kata old fashion bukan?kan?

Sejujurnya, kamu salah kawan. Naif bukanlah predikat yang sesuai untuk saya. Dulu sekitar tahun 2002, waktu itu saya rancu dengan penyakit remaja no.13,  yakni tabiat memasuki dunia chatting dalam laman sosial yahoo. 
Macam ini:
sign in (cayhi_mountairock) > yahoo chat > join room > islam chat . (ini nama saja islami, tapi 'hantunya' sama.Kami bukanlah berbual soal teroris atau rukun islam saja, rukun tidak nampak dalam dunia chatting adalah 'asl', berkenalan, berkasih sayang, dan buat ayat-ayat cinta.)


Saya akan kaku disitu berjam-jam lamanya. Sehingga menjelang subuh baru saya melelapkan mata. Waktu itu seingat saya punya 4 kekasih gelap serentak. Ini adalah pengalaman polyandry online yang hebat. Benar-benar zaman Jahiliah yang 'sempurna'!

Itu kisah bodoh masa lalu. Jadi, setelah penat berchatting, saya beralih ke blog pula. Tahun 2007, saya menulis dengan lebih serius dalam blogspot 'sophiegnosis'. Diambil dari kata sophie bermaksud kebijaksanaan, dan gnosis yakni ilmu. Si ilmuwan yang bijaksana. Kata Jimadie teman blogger, judul itu bikin kamu jadi Ratu Segala Ilmu yang kekal dalam ingatan. Begitulah saya mengangkat-angkat diri. Bukan main ya..hahaha..

Hampir dua tahun saya mula rasa bosan. Mati inspirasi, sibuk, dan hidup yang tidak tentu arah. Jadi, saya berhenti menulis setahun (atau dua tahun?entah). Bagaimanapun perkenalan dengan beberapa editor dan penulis dalam 2 tahun kebelakangan bikin saya terbius mahu menulis lagi.Jadi, jadi..ya. .ini posting pertama menggunakan akaun blogspot yang baru. (yang lama mungkin sudah dikeronyok anai-anai online).

Buku terakhir saya baca adalah tulisan Nurul Syahida, Valentina Nervosa. Gaya menulisnya unik.Nanti saya akan ulas dalam post akan datang. Post hari ini adalah percubaan menulis gaya bahasa beliau. Suka-suka saja. Blog bukanlah semata-mata idea-idea yang gempar dan  saksi perubahan diri. Kamu boleh saja menulis soal makan dan berak kamu,soal suka-suka dan manisnya hidup dunia di tanganmu.

Dan begitulah entri ini dimulai. Sudah panjang. Sampai ketemu lagi!

No comments:

Post a Comment