Friday, 20 July 2012

Juni yang kekal dalam ingatan

Hei..!Sudah akhir juni!

Juni yang penuh meriah ini hampir habis. Saya ingat, Juni 8 tahun lalu saya masih seperti riang-riang yang hidup lepas,  Kami lepak dan  sesuka hati menterjemah alam. Namanya, kata sesetengah orang, mengasah fluid intelligence.

Sampai bila-bilapun saya akan mengenang Juni (iya, Juni dan bukan Jun) dengan sisi indah. Yang namanya indah itu selalunya datang dari hal-hal biasa tapi dilihat dari sisi  yang luar biasa. Demikian, orang-orang sederhana seperti kita ini menciptakan rasa 'ada' .Eksistansi. kan.kan...Tidak perlulah cinta Shah Jehan yang mencempung mata juruteranya demi Mumtaz Mahal, Kita kan sudah bosan dengan klise. Lalu mari, saya bawa kamu ngembara ke utopia hidup saya.


Baik, sesudah penat  menjadi riang-riang di bulan Juni lapan tahun lalu, (atau rama-rama katik bermata sepet..ini lebih tepat ~~"), Juni 3 tahun lalu, lifespan saya tiba-tiba menanjak dari status si riang-riang kepada si Penelope yang tunduk patuh kepada Odysseus. Ya, saya sudah menjadi isteri di tahun itu! Padahal, setahun sebelumnya saya katakan pada ibu;

 "ibu, saya mahu berkahwin umur 30 tahun saja, masih mahu belajar. PhD, paling rendah!"

 Saya juga, belasan tahun dahulu sudah pernah ikrar ke ayah, bahawa dua suku yang benar-benar tidak mahu saya campur dalam susur galur masa depan saya adalah Jawa dan Kadazan.Tidak mahu saya pekatkan dua darah itu dalam genetika saya. Cukuplah.

Dan 'gong' Istana nun di Atas sana, dipalu sebaliknya.Tuhan tahu, tapi menunggu.

Saya menikah tuan, tepatnya 14 juni 2009, ketika saya berumur 26 tahun, dengan seorang pemuda Jawa, berdarah pekat asli Sidoarjo, Jawa Barat. Bukan main.

Tahun berikutnya, sehari awal dari ulang tahun perkahwinan saya, bidadari kecil bermata jeli itu pula muncul dalam hidup saya. Tahun ini, bulan yang sama, saya meterai pula pembelian rumah di kawasan Darau, hampir dengan pejabat saya. Begitulah saya pelan-pelan menyenangi Juni dan seluruh isinya.

Oh, terima kasih Tuhan kerana mengenalkan kami dengan istilah 'kenangan'. 

Tahun-tahun hadapan, entah apa lagi surprise Tuhan mahu berikan pada saya? Marilah rapat-rapatkan kaki ke bumi, tadah tangan ke atas dan pandang Tuhan dengan saksama, setelah itu,  kata Hamka , "pasti mulutmu akan tertancap kata 'SubhanAllah'!

Selamat tinggal Juni yang kekal dalam ingatan!

**di catat akhir juni lepas (lalu, kenapa baru di pos sekarang?)

Friday, 6 January 2012

Gandhi dan 29 yang klise


Kawan!
 

Jadi, ketika saya menjejak 29 tahun kemarin, cinta pun datang bertalu-talu. Ini sedikit klise dan keanak-anakan. Tapi, kata Gandhi, di mana ada cinta, di situ baru boleh disebut ada kehidupan.

Gandhi benar, saya benar-benar hidup kemarin. 

Mari, temankan melihat cinta-cinta di sisi kecil hidup saya.^^

Mula-mula, kami makan.
Ok, mereka ajak berkaraoke.Sumpah, saya ini pertama kali ke tempat ini!

Keadaan semakin tidak terkawal..lihat si kacak di tepi dinding itu, suaranya sedap tahu!


I am blessed.ha ha


Tulisan penuh seni ini daripada abang bongsu tempat saya berebut susu kecil-kecil dahulu.







Ini dari Sultan Jawa di rumah saya. Diterima awal sebulan, tanpa sebab-sebab yang jelas...(adakah dia terlalu sayangkan saya? wahahahaa)

Teman-teman yang baik dan keluarga yang hangat. Selaut pun tidak mampu saya umpamakan kebaikan kalian.

Sekali lagi, terima kasih!

Tuesday, 6 December 2011

Cinta Padang Bulan

25/04/09

Sehari sebelumnya,debar meranjut sampai ke ubun-ubun. Lelaki itu akan datang tak lama lagi. Malam semalam, katanya dia ambil kereta api malam dari Porong ke Jakarta. Pasti di bantai sejuk yg membeku. Lalu ku pesan supaya membawa baju tebal.Nanar, aku tanyakan jarak perjalanan.

"Cuma 12 jam" katanya bersemangat. 12jam! Itu seperti mencampur perjalanan dari KK ke Keningau di darab dengan dua, tambah perjalanan sehala KK ke Tawau.Ohh..kasihan sekali.
Suaranya sengau sewaktu aku telefon malam itu. 

"ada apa?"..

"Aku demam"

Rasa kucar kacir mengetuk lagi. Pelan-pelan aku rafa' tangan.Ya Tuhan,benar,ini pertemuan yang pertama. Wajahku hodoh, cabut demamnya. Aku mahu dia nikmati perjalanan mencari cintanya. Sepenuh-penuhnya.

Mencari aku.

Bagaimana nanti dalam mamai demam dia tiba-tiba pengsan melihatku?Atau barangkali dia tidak pengsan. Tapi berlari.Terus ke meja kaunter,mahu beli tiket balik ke Jakarta! Ohh..oh..Baru ku tahu persoalan demam bukan sekadar imunisasi tubuh yang lemah diserang virus. Malah, lebih besar, demam itu rupanya boleh merubah jodoh seseorang! Bahkan saintis ulung pun menyerah dengan fakta baru ini. Demamnya adalah persoalan masa depanku. Maka hanya sekali ini Tuhan,  tolong cabut demamnya.Tolonglah! 

Berita kedatangannya merata. Entah siapa bermulut bocor. Di Indah Permai, di Puri Saujana,di Kg Baginda nun desa kampungku,mereka sibuk bertanya dan teka meneka. Petangnya,sepupu-sepupuku berbondong-bondong datang menjengukku. Sialan. Hatiku sendiri masih belum tertata penuh,mahu melayan paparazzi ini lagi.Tak tahukah mereka makna privacy?hahh?!

Jam 4 pm.
Aku mudik ke deretan kedai . Mahu beli tudung. Ini! warna merah. Tanda berani,dan siap sedia untuk penolakan. Nanti sewaktu dia (dan demamnya) berpaling menolak ku,aku akan tayang muka berani. Seberani merah tudungku. Sumpah,aku akan mendongak dan pulang seperti pahlawan.
Otakku meracau-racau lagi.Gila sungguh!

6pm. 
Ruang kamar tempat dia bermalam telah ku rapikan. Kamar itu latarnya merah jambu, sehinggakan jam dinding pun merah jambu. Aneh, tapi pedulikan.

Aku ambil secarik kertas hitam. Bucu kertas ku bakar dengan racun nyamuk supaya membentuk border yg indah,berlubang-lubang.Dengan tinta emas, ku lorek bait-bait kata syahdu untuk tatapannya. Konon mahu menyangga semangatnya untuk bertahan di sini.  Ku peras waktu yg sedikit untuk kata seindah mutiara. Sekuatnya aku berfikir gaya Chairil Anwar, dan akhirnya terciptalah tinta indah dengan seni yang kurasakan cuma Shakespeare saja yg layak berkomentar.

Tuan tahu apa maknanya?

Iya.Aku sudah terkena sindrom gila yang kedua maha berat. JATUH CINTA.  (yang kemudian aku tahu tulisan ku itu langsung tidak ada manfaatnya.Sungguh mengecewakan. Tahu kenapa?? Tenang,akan kuceritakan semuanya..)
...bersambung

Thursday, 27 October 2011

Teknik Penulisan Saintifik

Sementara semangat masih belum buyar ini, saya mahu kongsi dengan kamu satu ilmu. Iya, usah banyak, satu saja.Kemudian, skop diskusi ini saya tiruskan pula kepada sains tulen, dan bukan sains tempel-tempel seperti sains sosial atau sains Karl Marx. Apa boleh buat, kami ini ilmu sekangkang kera saja.

Baiklah.

Pertamanya adalah memahami keperluan gaya penulisan ini. Dunia sains agak ganjil. Kajian kamu dikira tidak selesai selagi kamu belum paparkan a.k.a sharing penemuan kamu. Mengapa begitu? Kerana kita peduli dengan istilah 'reproducebility'. Dunia sains adalah daripada ranting-ranting ilmu yang berserakan. Dan mereka bertunas. Mereka mengulang-ulang idea untuk mencambah tunas idea yang baru.

Kata Manaf pensyarah biologiku dulu, ilmu itu hanya disebut 'maklumat' dan kekal begitu sehinggalah ia dikongsi. Undang-undang ini melengkapkan definisi ilmu. Dengan kata lain, sains sangat islami.

Not penting dalam penulisan saintifik adalah eksplisit.Atau kejelasan. clarity. Maka persediaan yang perlu adalah memiliki penulisan bahasa inggeris yang bagus. Apa mahu dikata, itu bahasa semesta untuk transaksi ilmu. "the best english is that giving the senses in the fewest words". Nampak? memaknakan inggeris dalam perkataan yang teringkas!

Penulisan saintifik ada beberapa bentuk. Ia boleh jadi:

1)Jurnal
2)Publikasi
3)Poster
4)Laporan makmal (ya!)
5)Proposal
6)Tesis
7)abstrak...

Sebelum menulis, beberapa perkara perlu dipertimbangkan.Pertama, apa yang ingin kamu tulis? Biasanya, pelajar sains melakukan kajian kerana mereka sudah diberikan tajuk projek awal-awal. Ia berkaitan geran, berkaitan availability equipment,berkaitan mahu-nya kerajaan! Maka kami pun macam dicucuk hidung saja. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya berikan sense sedikit dalam kajian kamu. Maknakan mereka.

Kedua, pastikan kajian itu belum pernah dibuat sebelum ini. Penting! (ya, merah ini disengajakan pertanda penting yang teramat). Kita ada enjin carian untuk kajian-kajian yang sudah dipublikasi. Tapi kita tidak boleh cari kajian-kajian yang belum selesai atau 'under project'. Katalah kamu sedang buat projek tentang suatu ekspresi protein dalam nenas, tahu-tahu ada rakan di Jerman sedang buat kajian yang sama. Maka kamu harus berlumba untuk siap dahulu dan terbit dahulu! Supaya lebih efek, kamu pelajar master dan kawan dari Jerman itu sedang PhD tahun akhir (baca:lebih banyak ilmu dari kamu.Lebih cepat siap!) eh..eh..bukankah 'knock out' disitu? Jadi, ya..kaji betul-betul.

Kemudian pasang niat koleksi jurnal manakah kamu ingin terbitkan. Nature, Cell, Science, PNAS..macam-macam majalah sains ada,online ataupun tidak. Mengapa ini penting?Haihhh..serupa Malaysiakini dengan Kosmo lah. Mana satu berita yang lebih bagi impak?

Eh..eh..bercakap pasal impak, dunia penulisan saintifik peduli hal ini. Istilahnya 'faktor impak'. Tidak seperti youtube atau blog, faktor impak tidak berkenaan dengan seberapa banyak jurnal itu di review. Ia dikatakan punya faktor impak tinggi apabila banyak penyelidik 'quote' atau cited dari jurnal kamu. Dengan kata lain, kajian kamu bagus. Orang suka, lalu ambil masuk ke dalam kajian mereka.

Contoh seperti tajuk jurnal 'Annals of thoracic surgery' di bawah ini.

















Ini salah satu contoh 'high impact factor'. Tahun 2009 mencecah sehingga 3+. Cara kira begini:






Bagaimanapun, sekiranya jurnal kamu baru dikeluarkan, janganlah harap tinggi sangat. Dapat 0.0001 pun sudah oklah. Pensyarah Bangladesh kami hit jurnalnya mencecah 0.02  setelah setahun dikeluarkan.  Itupun sudah jadi pelajar terbaik UPM peringkat PhD. Mudahkan. kan. (T_____T).

Oleh sebab adanya faktor impak ini, penyelidik berlumba-lumba menyumbang dalam majalah sains terkenal seperti Nature yang keluar setiap minggu itu. Majalah ini bukan tangkap muat saja ya. Ada ratusan ribu jurnal terbit setiap hari. Mereka pilih macam cari kutu dalam jerami. Itu adalah antara momen terindah dalam dunia sains sekiranya jurnal kamu boleh terbit dalam majalah itu. faktor impaknya tinggi dan jadi favorit citation para penyelidik.

Terakhir adalah format penulisan. Rasminya, yang biasa dipakai adalah penulisan format IMRAD. Ia adalah mnemonik bagi perkataan:

[I]ntroduction > [M]ethod > [R]esult > and [D]iscussion.

Tulis langkah demi langkah.Maklumat ditampilkan secara perenggan dan tidak dalam point-point. Umpamanya dalam method, kamu mahu kata:

1)Pour water into agarose powder. Stir it under heat condition.
2)Let the solution cooled slowly to 60'c under tap water.
IMRAD: Water was added into agarose powder and stirred under heat condition. After that, the solution was then cooled slowly to 60'c under tap water.

Ia, serupa itulah. Bagaimanapun, majalah-majalah sains terkenal seperti Nature atau Cell tidak mengguna pakai format seperti ini. Biasanya Result diletakkan dihadapan sekali, diikuti discussion. Method  dan Acknowledgement terakhir sekali.

Baik! Sampai situ dahulu. Mari kita tutup dengan kata-kata Aristotle yang agung, "The energy of the mind is the essence of life"

Beri makan minda anda!^^

Thursday, 20 October 2011

Tuhan,terima kasih

Kerja Makmal.

Kelas.

Mengajar.

IELTS.

Praktikal pelajar.

Dan si kecil Ahada.

Dan Sang Sultan.


Saya sangat kucar kacir. Mata sudah naik merah tidak cukup tidur. Badan mula letih-letih, tekak rasa sakit. Saya sudah tidak menonton wayang sambung menyambung seperti sewaktu zaman 'jahiliah' dulu. Sudah tidak 'ngopi' di Warung Puteri bersama teman keras, lepak-lepak macam selalu. Pulang rumah sudah habis separuh malam..dan tidur tidak mandi!

Tapi ini juga bermaksud saya mulai kembali memanfaatkan waktu. Otak saya bekerja, tidak kumuh, tidak lagi semu. Dengan kata lain, saya sedang 'hidup' kembali!

Dan teman sekelas yang ramah. Prof Michael yang segar. Juga si kacak Dawud al-Afghani yang akrab di makmal. Mahu apa lagi.kan?kan?

Terima kasih Tuhan. Terima kasih. Terima kasih, setinggi-tingginya!

Wednesday, 12 October 2011

Konsistensi yang gagal

Saya mungkir lagi. Menulis di sini, maksud saya. Ini disiplin yang maha berat, sama berat seperti mengkulturkan bakteria dalam agar. Ini kerana mereka perlu dikolonikan sehari semalam dalam cairan Luria-Bertani, digoncang dalam suhu konsisten. Susahkan?kan?

Masalah saya adalah konsistensi. Dari dulu sehingga sekarang. Sewaktu bekerja, sekiranya diberikan 8 jam, satu jam pertama saya akan bersemangat macam katak dijentik bontot, kerja susup sasap, energetik dan penuh gaya.
Sejam kedua, saya akan mulai membuat pelayaran di internet dengan alasan mahu membaca berita Malaysiakini yang 'hot'. (ya, Malaysiakini dan bukan Utusan yang haprak) Kita perlu membaca, nanti orang tanya invensi terakhir Steve Jobs adalah apa; kita tahulah jawapannya. Eh,eh...bukan i-phone 4s yang tengah laku keras itu. Jawapannya adalah i-die T_____T. Ooohhh..Sudah merapu.

Sejam ketiga, perut saya laparlah! Jadi saya makan. Setengah jam. Sekarang sudah jam 11.30am. Sudah hampir separuh hari. Jadi, saya sambung kerja. Tidak sampai 15 belas minit, kawan kubikel di sebelah kanan cuit-cuit. Cerita anak sulung yang tengah demam. Sayapun khusyuk mendengar sambil menokok tambah tips keibu bapaan yang perlu.

Ok. Sekarang sudah jam 12.30pm. Naik solat zuhur. Mata rasa berat pula. Jadi, saya tidur sekejaplah. sekejap saja, kasihan mata saya.kan.kan. Kemudian, setelah muncul beberapa pulau di lengan kanan, saya bangun terpisat-pisat. Eh?sudah jam 2pm?

Saya masuk pejabat lagi. Mata sudah segar, tenaga sudah recover dari nasi sepinggan siang tadi. Jadi, marilah berkerja semula.2.30pm, Maria yang comel duduk di belakang saya tarik-tarik kerusi. Ayatnya yang tipikal dimulai begini " Iva, kamu tahu....". Dan selalunya berakhir begini, "Shh..tapi diam-diam tahu". Di tengahnya adalah sesi dosa kering yuu seee. Hal dalam kain rakan sepejabat bukanlah topik favorit saya. Tapi, Maria itu sangat comel dan suci. Kamu mesti rasa mahu memaafkan dia tanpa perlu dia kata apa-apa.

Pukul 3 ada briefing. Pukul 4 ada perjumpaan mentor-mentee. Pukul 5 sudah siap-siap mahu pulang! Ini hidup yang mengecewakan.

Belajar juga begitu. Urusan sosial juga begitu. Buat blog juga begitu. Saya rasa abang Rakib di bahu kanan mesti teringin mahu menunjal-nunjal kepala saya.

Satu-satunya yang mampu saya buat untuk redeem semua kesalahan konsistensi itu adalah dengan bersolat dhuha. Benar ini. Saya jarang tahajud, saya jarang ber ma'thurat sehabis asar,malah selalu mungkir baca yasin hari khamis. Tapi saya dhuha. Sebab dalam surah Dhuha ada sumpah yang agung. Tuhan kata, "Demi Dhuha, tidaklah Tuhan membenci kamu, tidak pula Dia meninggalkan kamu..(dhuha:1-3)"

Ada rasa macam sedikit pujukan kan.

Baiklah begitu. Saya selalu ingin menjadi baik dan taat. Semogalah Tuhan memaafkan saya dan menandai saya dengan niat baik-baik ini.Amin.Kamu juga ya!

Friday, 17 June 2011

Si Ratu Hitam Metalik

Semu.

Apabila datang amanah, yang menyusul sesudah itu adalah istilah 'tanggung dan jawab'. Maksudnya, tanggung amanah itu dan bersiap sedia untuk menjawab hal-hal seputar.

Kemudian, kerana tidak mampu dan mahu mengelak gelar munafiq (masih ingat 4 ciri munafiq? ya..ya..salah satunya berkhianat dengan amanah), amanah itu kita cuba sandarkan kepada yang lebih berkelayakan. Dengan keyakinan, bahunya lebih kuat untuk menanggung beban amanah.(Dalam dunia ini, yang paling berat adalah amanah. # al-Ghazali, ini juga masih ingatkan?)

Lalu kamu fikir masalah sudah selesai dan sudah boleh tidur lena selepas itu.

Tapi kamu salah. Selalu saja salah..

Amanah itu adalah sebuah kereta perdana tua berplat nombor Semenanjung Malaysia. Di zaman 'bergetah'nya, dia adalah ratu hitam metalik yang hanya buntut VVIP saja yang layak mendarat di tubuhnya. Ya, si Ratu adalah kereta Perdana Eksekutif dengan tempat duduk penumpang memanjang ke belakang. Ia dibeli oleh seorang pastur cina yang kemudiannya dipindahmilik atas kepercayaan (baca:tanpa menukar nama) kepada abang sulung saya.

Baru-baru ini, sekitar hujung 2010, sang Ratu diserahkan pula kepada saya, atas nama hadiah (baca: menutup hutang). Dan, di sinilah kisah 'amanah' itu bermula.

Pertama, ketika diserahkan kepada saya, si Ratu hitam itu masih atas nama pastur cina tadi.Maksudnya, kalau jadi apa2 dengan nama wa, siap lu!

Kedua, bayaran bulanannya tinggi. (untuk saya yang hidup seciput ini, yaa!).

Ketiga, maintenance juga tinggi. (sekali lagi, saya adalah si gaji ciput itu, maka mestilah saya tidak tahan dengan gaya hidup kelas tinggi former Ratu ini).

Tapi kemudian, saya terima juga. Waktu itu kami pasangan anak satu ini tidak ada pengangkutan ke tempat kerja dan ulang alik hantar anak ke tempat ibu (yang berhati mulia itu) dengan bas saja. Keletihan, saya meminjam pula kereta abang-abang yang masih bujang (dan ini pula meletihkan Emotional Quotient kamu). Jadi, ya..akhirnya saya terima amanah itu dengan hati yang berbunga-bunga.

Namun saya katakan pada abang saya tidak kuat membayar bulanannya, termasuk maintenance dan kos minyak yang tinggi. Kemungkinan terbesar adalah saya akan menjual si Ratu itu secara sambung loan (pertama:kerana bukan atas nama saya, kedua:kamu boleh jadi kaya mendadak,dan boleh skip plan menabung 2 tahun). Abang cuma angguk saja dan berkuliah soal maksud tanggung dan jawab.

Sekarang, sang sultan sudah ada kereta baru, dan perdana itu pula saya jual kepada seorang agen kereta merangkap abang saya yang kelima (ya..mari hahahaha).

5 bulan lepas suami isteri itu bersuka ria dan beli kereta baru guna deposit hasil penjualan perdana.

Sebulan lepas suami isteri itu (yang sama seperti di atas) masih berhidup gembira dan merancang membeli rumah pula.amboii! 

Seminggu lepas, abang sulung menghantar das-das sms yang menggegar. 3 butir turun serentak. Antara lain katanya kereta sudah gantung 4 bulan, marah-marah kerana tidak dimaklumkan soal penjualan kereta, dan seolah-olah dalam bahasa jawanya dia mahu kata 'u take it for granted'.

Saya blackout.

4 bulan kawan. Itu cecah 3 ribu juga. Kereta itu sudah dijual dan pembeli kereta yang layak disunat semula itu pula sudah tidak mengerti butang hijau itu untuk apa ketika ringtone handphonenya berdering-dering minta diangkat. Agen kereta alias abang kelima itu pula tenang-tenang saja (mata kecilnya macam kata "relax, it happened all the time. God will give a way.Inshallaaaaaahhh..inshaAllaaaaaaaahhh.. InshaAllaaaaaah).

Ceisss..Saya macam mahu timbus diri dalam tanah 3kaki x7 kaki dan pacak tiang kubur di atasnya. Oh ohh...

Jadi, apakah cadanganmu kawan?

1)Tukar nombor telefon dan berpura-pura masalah telah selesai.
2)Tembak si pembeli itu dan kamu berusaha membuat senyuman sadistik ketika melenggang masuk penjara.
3)perjuangkan si Ratu sehingga ke akhir ayat. Maknanya, sila tolong bayar gantung 4 bulan itu dan juga selebihnya iaitu Rm750x12 bulan x 5 tahun.(Kira sendirilah! grrrrrrrr...)
4)Marahkan si sulung dan si agen kereta@abang kelima itu. Maknanya; cuba sedaya upaya untuk mencencang air sehingga putus. Sekiranya tidak takut nusyuz, marahkan sekali encik Sultan kerana cuma tahu senyum-senyum saja.
5)Tarik kereta itu. Letupkan ia. Kemudian buat laporan kereta itu hilang, dan claim insurannya.
6)Tarik kereta itu. Serahkan kepada syarikat kereta sewa a.k.a abang ketiga, suruh bayar gantungnya, disewakan, dan serahkan hal ehwal urusan si Ratu kepada si bangga (nama gabungan untuk abang ketiga).

Terima kasih atas keprihatinan kamu. Buat sementara, saya akan beli cangkul dan mulai menjalankan aktiviti menanam diri T_____T

(entri ini adalah percubaan menulis gaya Husna Adnan. Macam tidak berapa menjadi.kah kah kah)